Monday 4 July 2011

Akta Darurat pencegahan awal

Oleh Abdul Razak Raaff, Irwan Shafrizan dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my
2011/07/04

    NAJIB   ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan,   semalam.
NAJIB ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, semalam.



Langkah elak perkara lebih serius berlaku, pastikan keamanan kekal: PM

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penggunaan Ordinan Darurat adalah langkah pencegahan awal bagi mengelakkan perkara lebih serius berlaku, selain memastikan keamanan dan ketenteraman negara dikekalkan.
"Ini langkah preventif... pencegahan lebih baik daripada berubat, apa-apa polis buat ini sebagai satu langkah pencegahan daripada sesuatu yang lebih serius berlaku jika ada pihak mengambil kesempatan daripada perhimpunan haram itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, semalam.
"Ada beberapa elemen bila adanya demonstrasi seperti ini kerana ada banyak orang nak tumpang semangkuk... mungkin ada antara mereka yang berfahaman komunis, mereka yang kaki pengacau, mereka yang suka berhimpun sebab suka keadaan liar yang boleh menaikkan semangat.

"Ada sebahagian rakyat yang mahukan kita (kerajaan) bertindak dengan menggunakan apa juga kuasa yang ada pada kita tetapi saya percaya polis memahami segala implikasi kalau mereka nak mengambil apa-apa tindakan, yang penting tindakan itu mendapat sokongan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu akan cuba menggambarkan kerajaan bersifat autokrasi dan kuku besi serta tidak liberal kerana menolak perbuatan mereka.

“Mereka akan menggunakan media antarabangsa untuk menggambarkan secara negatif kerajaan Malaysia jika mereka boleh buat provokasi sehinggakan pihak berkuasa terpaksa menggunakan sesuatu yang boleh digambarkan sebagai menggunakan kezaliman terhadap mereka,” katanya. 
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu ditangkap mengikut Ordinan Darurat 1969 kerana disyaki terbabit dengan kegiatan subversif yang boleh membawa kemudaratan kepada ketenteraman awam dan huru-hara di negara ini.

Sambil menolak dakwaan polis membuat tangkapan sesuka hati mengikut ordinan itu, Abdul Khalid berkata semua tindakan polis dibuat mengikut lunas undang-undang.

"Ini (Ordinan Darurat) adalah undang-undang yang ada di negara ini. Bukan pandai-pandai polis ambil tindakan sendiri. Apa juga tindakan kita adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya memberi amaran sesiapa yang mengganggu gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam boleh ditangkap mengikut semua undang-undang yang ada.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program ‘Reuniting Families - Child Safety’ anjuran RHB Bank di Kuala Lumpur, semalam.

Khalid berkata, penahanan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jeyakumar Devaraj, mengikut ordinan itu, kelmarin, dibuat kerana disyaki terbabit dengan kegiatan subversif.

Ordinan Darurat membolehkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Sehingga semalam, enam individu ditahan mengikut Ordinan Darurat dan 152 lagi ditangkap mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis kerana cuba mengadakan perhimpunan haram, manakala hampir 3,000 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak yang membantah perhimpunan itu di seluruh negara. 

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites