SIAPAKAH YANG AKAN MENANG

Siapakah yang akan meneraju Malaysia selepas ini. Blog ini mengumpulkan berita-berita mengenai PRU-13 yang akan datang. Bersama-samalah kita membuat pilihan yang bijak untuk masa depan negara kita yang tercina

KEADILANDAILY: Himpunan Bersih 2.0: Polis panggil Anwar ke IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini berikutan ucapannya yang menyentuh kepentingan Himpunan Bersih 2.0 di Brickfield minggu lalu.

UTUSAN: Jangan biarkan golongan kiri cabar institusi raja, Islam

KUALA LUMPUR 26 Jun – Tindakan golongan kiri yang sengaja mencabar dan mengelirukan persepsi rakyat terhadap institusi raja-raja dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tidak wajar dibiarkan berlaku, apatah lagi memberi persepsi amalan raja

BHARIAN: Ambiga Degil

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan haram yang dirancang diadakan di ibu negara pada 9 Julai ini berdegil untuk meneruskan perhimpunan walaupun Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pemuda UMNO bersedia membatalkan perhimpunan masing-masing jika kumpulan pengacau terbabit bersetuju tidak meneruskan hasrat itu.

KEADILANDAILY: RM49 juta biayai kediaman Najib, Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Ketika rakyat menderita akibat kenaikan harga minyak, barang dan kos sara hidup, kerajaan pula membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalannya.

Thursday 30 June 2011

UTUSAN: Warga IPTA dinasihat tidak terlibat perhimpunan haram

GEORGE TOWN 30 Jun — Warga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diminta supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang termasuk menghadiri perhimpunan haram.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor IPTA, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, kakitangan dan penuntut universiti perlu menghindarkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang boleh menimbulkan masalah kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.
"Hal ini penting demi kesejahteraan masyarakat dan orang ramai serta memastikan setiap tindakan yang dilakukan tidak akan menimbulkan kesusahan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkifli yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, setiap tindakan dan pandangan yang ingin disampaikan perlu menggunakan saluran betul, mengikut dan menghormati peraturan dan mekanisme yang bersesuaian. - Bernama

KEADILANDAILY: Pakai baju Bersih, 23 ahli majlis dipanggil polis


KUALA LUMPUR: Seramai 23 Ahli Majlis Perbandaran Kajang dipanggil polis supaya kenyataan mereka dirakamkan, gara-gara memakai baju Bersih dalam mesyuaratnya semalam.
Malaysiakini melaporkan, daripada jumlah itu, hanya tujuh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang petang ini.
Selebihnya dikatakan mempunyai tugas lain dan akan datang secara berperingkat-peringkat selepas ini.
Bagaimanapun, menurut seorang daripada mereka Chandra Mohan ST, mereka masih tidak pasti akan disiasat mengikut akta mana.
MPK mempunyai 24 anggota. Daripada jumlah itu hanya 20 orang hadir dalam mesyuarat semalam.
Ketujuh-tujuh mereka, Chandra, Ng Tien Chee, Steven Chan Jeong Hon, Tan Boon Wah, Lee Kee Hiong, Chang Siaw Hong dan Datuk Noorhisham Ishak.
Mereka diiringi peguam Lim Lip Eng yang juga anggota parlimen Segambut.
Semalam, polis memanggil lima aktivis, termasuk Exco Selangor, Teresa Kok untuk memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini.
Mereka yang disiasat adalah aktivis sosial, Hishamudin Rais,  Peguam Lawyers For Liberty,  Latheefa Koya, Presiden Tenaganita, Irene Fernandes dan Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis pada penglibatan di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu selepas satu laporan yang dibuat oleh polis yang hadir.

HARAKAH: Baju kuning: Pakai tak salah, tangkap salah

KUALA LUMPUR, 30 Jun: AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar)berkata, memakai baju kuning berlambang Bersih adalah tidak haram kerana tiada mana undang-undang yang melarang pemakaian baju kuning.
“Yang salah dan haram adalah tidak memakai baju dan seluar di khalayak ramai,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, polis yang menangkap mereka yang memakai baju kuning berlambang Bersih telah bertindak di luar batas undang-undang dan boleh disaman kerana melakukan tangkapan yang tidak sah.
Jelasnya lagi, Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.
“Menangkap mana mana orang yang memakai baju Bersih sedangkan memakai baju tersebut tidak dilarang oleh mana-mana undang-undang adalah melibatkan pelucutan kebebasan seseorang dan yang demikian ianya melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya yang juga pengamal undang-undang.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada portal Malaysikini semalam yang melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyokong tindakan polis menangkap mereka yang memakai baju kuning berlabelkan Bersih.
Ini kerana ujar Hishamuddin adalah haram memakai baju kuning tersebut.
Kata Hanipa, bagi Umno dan Hishammuddin janganlah terlalu paranoid dengan warna.
Menurutnya, jika satu waktu dulu Umno takut dengan warna hijau Petronas kerana warna hijau Petronas dilihat sama dengan warna bendera PAS, kini warna kuning pula yang ditakuti.
“Sampai bila Umno nak takut dengan warna?” soalnya.
Mengenai hujah Hishamuddin adalah jika aktiviti Bersih adalah haram, maka memakai baju kuning Bersih juga adalah haram, beliau bekata malang sungguh bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai menteri yang ada kelulusan undang-undang tetapi jahil undang-undang.
“Saya mengesyorkan kepada Hishammuddin jika pun kamu benci sangat dengan Bersih janganlah sampai menggadaikan maruah dan integriti kamu.
“Ada masanya elok juga untuk kita menyembunyikan kejahilan kita,” ujarnya.
Beliau berkata, haram atau halal sesuatu perkara baik dari segi agama atau undang-undang adalah berdasarkan dalil dan bukannya berdasarkan kenyataan menteri.
Mungkin, katanya Hishammuddin boleh tunjukkan kepada kita di bawah peruntukan mana dan di dalam undang-undang mana memakai baju kuning berlambang Bersih adalah satu kesalahan.
“Jika kita menerima hujah Hishamuddin memakai baju kuning Bersih adalah haram kerana aktiviti Bersih adalah haram maka secara logiknya jika seseorang terlibat dengan berlumba motor secara haram, maka segala peralatan yang beliau pakai termasuklah helmet, seluar, jacket kulit dan motor yang beliau tunggang adalah kesemuanya haram,” katanya lagi.

KEADILANDAILY: Pentadbiran Najib arah stesen TV henti promosi Bersih


KUALA LUMPUR : Amaran diberikan Kerajaan UMNO-BN kepada stesen siaran swasta daripada menyebut apa-apa tentang Himpunan Bersih 2.0 atau tarikh ia akan diadakan.
Pentadbiran Najib mahu stesen berkenaan memberi amaran kepada rakyat dari menyertai tuntutan jalanan untuk meminta pilihan raya adil dan bebas.
Arahan tersebut daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, susulan tindakan polis menghalang perhimpunan anjuran Bersih, 9 Julai.
Petikan dari The Malaysian Insider menyebut sejak minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta eksekutif media stesen swasta bagi memaklumkan mereka mengenai garis panduan baru tersebut.
“Kami tidak boleh menyebut Bersih dan tarikh 9 Julai perhimpunan diadakan dalam siaran kami tetapi kami mesti memberi amaran mengenai demonstrasi ini. Bagaimana kita boleh melakukannya?,’
Radio Televisyen Malaysia (RTM) dimiliki kerajaan mempunyai  siaran radio dan televisyen, malah menyediakan lesen kepada stesen swasta seperti Astro,  The Star Publications yang turut mempunyai stesen radio, Media Prima Berhad yang mengendalikan stesen radio dan televisyen serta stesen radio BFM.
“Kami kena menghantar skrip radio kami untuk diteliti (pihak berkuasa). Ia sesuatu yang mengarut,” kata seorang eksekutif media berkenaan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan kemeja-T sebagai haram manakala pihak polis menyerbu sekretariat Bersih di Petaling Jaya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya bukan sahaja menahan sesiapa yang menggunakan kemeja-T Bersih 2.0 tetapi akan mengambil tindakan sesiapa yang mempromosikan perhimpunan aman.

HARAKAH: Protes: Ahli parlimen Pakatan berpakaian 'kuning'

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Sebagai membantah tindakan pihak polis yang memerangi sebarang unsur sokongan kepada himpunan aman Bersih 2.0, ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir ke Dewan Rakyat hari ini dengan berpakaian kuning.
Ada antara mereka berbaju kuning, dan ada juga bertali leher kuning bercetak Bersih 2.0 sekaligus dilihat seperti mencabar pihak berkuasa yang sedang giat melakukan tangkapan terhadap mereka yang memakai baju kuning bercetak Bersih 2.0.
Ahli parlimen wanita pula memakai pakaian kuning.
Dua dari mereka, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan Bukit Gantang Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memakai baju-T Bersih 2.0.
Pada sidang media mereka di lobi parlimen hari ini, mereka turut mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussin berhubung kenyataannya bahawa menyokong himpunan Bersih adalah haram.
"Kami di sini untuk menyokong himpunan Bersih bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil," kata Penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur)
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata baju-T Bersih haram dipakai dan mereka yang berbuat demikian boleh ditangkap.
"Tindakan kami memakai kuning hari ini sebagai protes kami kepada tingkah laku pihak berkuasa yang kami rasa sudah melampaui batas," kata Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai).

BHARIAN: Tarikh pilihan raya tidak tertakluk kepada tuntutan BERSIH: PM

2011/06/30


SIPITANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan keputusan menentukan tarikh pilihan raya umum tidak tertakluk kepada tuntutan BERSIH.


Najib berkata, motif kumpulan itu lebih menjurus kepada agenda politik dan tuntutan dinyatakan hanya alasan untuk mencetuskan suasana huru-hara.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Tuesday 28 June 2011

KEADILANDAILY: Belanja lawatan Najib, Rosmah RM17 juta


(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan lawatan rasmi yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri ROsmah Mansor berjumlah RM17,118,650.58 dalam tempoh 2008 hingga 2011
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis terhadap soalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang bertanya tentang jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri serta Timbalan Perdana Menteri dan isteri mengikut tarikh, lokasi dan tujuan dari tahun 2008 hingga 2011.




Dalam jawapan tersebut, Najib dan Rosmah membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM 4,811,837.48 (2009) RM 5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.
Manakala, kos keseluruhan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan isteri bagi tempoh sama berjumlah RM 8,020,328.07.
Bagi peruntukan khas kepada Rosmah pula, Jabatan Perdana Menteri tidak menyediakan peruntukan khas bagi perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan hanya diberi terhadap perkara yang melibatkan Pejabat Perdana Menteri sahaja
“Berbanding ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, nampaknya Rosmah lebih banyak melancong. Kita lihat lawatan rasmi Perdana Menteri telah menjadi jadual pelancongan isterinya,” kata Tian ketika ditemui Keadilandaily.
Namun, kata Tian Chua, sehingga kini rakyat tidak melihat  hasil lawatan tersebut membawa pulangan kepada negara.
“Apakah lawatan ini mendatangkan pulangan perdagangan dan perhubungan diplomatik yang lebih baik?
“Jumlah perbelanjaan ini menunjukkan peningkatan setiap tahun. Ketika rakyat terpaksa mengikat perut dan mengubah gaya hidup, Perdana Menteri dan isteri  sewenang-wenangnya membelanjakan wang orang ramai untuk perkara yang belum tentu membawa faedah.
“Ketika mereka ke luar negara, permasalahan domestik masih tidak diselesaikan. Apakah ini maknanya rakyat didahulukan,” soal Tian Chua.
Dewan Rakyat sebelum ini pernah dimaklumkan kos keseluruhan lawatan rasmi Rosmah ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh yang ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76.
Malah, Rosmah didakwa turut berbelanja hampir RM140,000 bagi penginapan hotel mewah di Atlantis, Dubai hanya untuk satu malam.

KEADILANDAILY: MP Pakatan persoal, bil elektrik PM saja RM10 juta setahun


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta penjelasan kerajaan  berhubung kos penyelenggaraan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya yang menjangkau hampir RM49 juta setahun.
Dalam jawapan bertulis menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam, sejumlah RM48,789,115.03 dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.
Kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu didedahkan berjumlah RM32,972,115.55 sementara kos baik pulih pula RM3,581,744.78 setahun.




Lebih memeranjatkan, bil elektrik bagi kediaman perdana menteri dan timbalannya sahaja berjumlah RM10,267,868.15 dan bil air pula mencecah RM1,967,386.55 untuk tempoh yang sama.
Ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata penjelasan itu penting ketika rakyat diseru supaya berjimat cermat dan mengubah gaya hidup ekoran tindakan kerajaan mengurangkan subsidi.
“Apabila mendidik orang ramai supaya berjimat, ia sepatutnya bermula dengan pemimpin,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.
Sementara itu, Ahli parlimen Rasah, Anthony Loke pula menyatakan hairan tentang belanja besar yang ditanggung, terutama kos elektrik dan air yang mencecah jutaan ringgit setahun.
“Kami tidak tahu sebesar mana keluarga perdana menteri dan timbalannya sehingga hari ini,” katanya.
Menurutnya jika jumlah itu dibahagikan sepanjang lima tahun dan mengikut bulanan, kerajaan membelanjakan RM160,000 untuk bil elektrik dan RM33,000 untuk bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi.
“Ini cukup untuk bayar bil elektrik saya untuk selama 100 tahun dan air pula cukup untuk 6,000 orang,” katanya.

KEADILANDAILY: Bersih: Dua Naib Presiden KEADILAN antara disiasat polis


KUALA LUMPUR: Beberapa hari menjelang Perhimpunan Bersih 2.0, Polis meneruskan tekanan dengan memanggil pimpinan KEADILAN untuk disoal siasat atas dakwaan menghasut dan menyokong perhimpunan itu.
Dua Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran hari ini di panggil memberi keterangan, selain Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan peguam hak asasi, Fadiah Nadwa Fikri.




Mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 27 (5) Akta Polis  berhubung perhimpunan tersebut yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, 9 Julai.
Fadiah disoalsiasat di bawah akta hasutan kerana hadir menyokong pengerusi Bersih 2.0 S Ambiga ketika membuat laporan polis di balai polis Travers  selepas mendapat SMS ancaman.
SMS ancaman bunuh itu turut dihantar kepada pimpinan NGO itu  termasuk pimpinan Pakatan Rakyat dan wartawan.

KEADILANDAILY: Bersih: Arahan tertinggi Umno punca tindakan polis- Anwar


(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, berhubung kenyataannya mengenai Perhimpunan Bersih 2.0.


Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, pimpinan KEADILAN dan peguam dari lawyers For Liberty (LFL), tiba di IPD berkenaan untuk dirakam percakapannya pada jam 5 petang.



Ketika ditemui pemberita selepas keterangannya diambil, Anwar berkata arahan pimpinan atasan Umno punca polis tidak berlaku profesional dengan menekan pimpinan Pakatan Rakyat berhubung penganjuran perhimpunan 9 Julai ini.
“Inilah satu negara di mana keputusan mengadakan pilihan raya bebas dan adil dikecam media milik Umno.
“Saya yakin dan percaya Polis tidak akan bertindak menghalang himpunan ini jika tidak mendapat arahan pimpinan atasan Umno,” kata Anwar
Kata Anwar, ia terbukti apabila polis membisu mengenai tindak tanduk terbaru Pemuda Umno dan Perkasa yang mengancam untuk membakar Ibu Pejabat KEADILAN, malam tadi.
Namun pada masa yang sama, kata Anwar, polis menangkap aktivis Bersih dan pimpinan Pakatan rakyat untuk mengganggu hasrat rakyat yang mahu berhimpun secara aman, pada 9 Julai.
Menurut Anwar, beliau menjangkakan lebih ramai pemimpin Bersih 2.0 ditahan sebelum perhimpunan itu dianjurkan.
Ketua Pembangkang ini juga tidak menolak penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan bagi melindungi kepentingan penguasa Umno-BN.
“Pemimpin yang korup dan zalim ini akan mengunakan apa sahaja alasan bagi mengekalkan pegangan mereka kepada kuasa,” tegas Anwar.
Anwar menegaskan bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut menyeru pihak berkuasa supaya membenarkan perhimpunan aman itu dijalankan.
Tegasnya, orang ramai mempunyai hak berhimpun dan menyuarakan pandangan, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan dan Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat
“Suhakam juga sudah membuat kenyataan bahawa himpunan ini harus diteruskan kerana ia selaras dengan hak kebebasan rakyat untuk berhimpun  sebagaimana yang dijamin perlembagaan,” katanya.
Selain Anwar, dua Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, N Surendran, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri turut diambil keterangan oleh polis hari ini.

UTUSAN: Mubarak ikrar bantu BN

KUALA LUMPUR 28 Jun - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berjanji memberikan sokongan penuh dan memainkan peranan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman (gambar) berkata, sokongan itu telah pun dilafazkan melalui ikrar yang dibuat ahli-ahlinya pada Mesyuarat Agung Mubarak di Sabah 6 Mei lalu dan disampaikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan Ahli Majlis Tertinggi Mubarak dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.
Menurutnya, langkah pertama yang telah diambil adalah pengumpulan data bagi membolehkan Mubarak mengkaji bagaimana ia boleh memainkan peranan dalam memastikan kemenangan BN.
"Kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di setiap kawasan Parlimen yang dirasakan perlu. Ia disusuli dengan program pemukiman pada 14, 15 dan 16 Julai ini di Melaka bagi meninjau landskap politik semasa di seluruh peringkat negeri.
"Selepas itu kita akan membuat satu dokumen gerak kerja yang mengandungi pelan tindakan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen selepas pertemuan tersebut di sini hari ini.

HARAKAH: Iklan Top inside Mengapa PM, TPM bermewah dengan wang rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan rasa terkejut dan kesal di atas tindakan kerajaan Malaysia membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz mempersoalkan mengapa kerajaan sanggup membelanjakan berjuta ringgit setahun semata-mata untuk kos kediaman pemimpin-pemimpin negara.





Katanya, dalam keadaan bebanan kos sara hidup yang meningkat, dengan kenaikan harga minyak petrol, kenaikan kadar tarif eletrik, kenaikan harga barang-barang keperluan, Perdana Menteri dan timbalannya pula sanggup hidup bermewahan dengan duit rakyat.
Dalam keadaan demikian, soalnya patutkah kerajaan menarik balik subsidi yang sepatutnya dimiliki rakyat sedangkan kehidupan pemimpin negara dalam keadaan serba selesa.
Menurutnya, nilai RM49 juta jika diagihkan untuk pendidikan rakyat, mampu memberi biasiswa percuma ribuan mahasiswa setiap tahun.
“Bagaimanakah negara dapat melahirkan rakyat yang bertaqwa, berdisiplin, berhemah, berjimat dan mengutamakan kepentingan negara melebihi diri mereka sendiri jika pemimpin negara sendiri hidup dengan mementingkan kepentingan diri mereka sendiri berbanding kepentingan rakyat?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, katanya DPPWP meminta agar kerajaan mengkaji balik kos perbelanjaan kediaman Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
“Tidak semestinya kena banyak belanja jika inginkan keselesaan buat pemimpin negara. Banyak lagi keperluan mendesak untuk negara diperlukan dengan nilai sebanyak itu,” katanya.
Akhirnya, kata beliau DPPWP mengingatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa rakyat sentiasa melihat mereka.
“Sikap ‘cakap tak serupa bikin’ amat dibenci oleh rakyat,” ujarnya.

YAHOO: ‘Jangan main-main dengan kami’, Pemuda Umno beri PKR amaran

Oleh Debra Chong
KUALA LUMPUR, 28 Jun — Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar mempertahankan tindakan ‘ganas’ sekitar 600 ahli sayap itu di luar ibu pejabat PKR dekat sini malam tadi atas alasan ia satu-satunya cara untuk memastikan pesaing politik menerima mesej bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman ke atas pemimpin mereka.
“Kami tahu pemimpin-pemimpin PKR di belakang ugutan bunuh ke atas Ketua Pemuda kami. Itu sebabnya kami mahu menghantar mesej. Jangan cuba main-main dengan kami,” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi pagi ini.
Rakaman gelagat mereka mengepung ibu pejabat PKR lewat malam tadi boleh diikuti di YouTube.
Sesetengah pihak menyamakan tindakan mereka itu seolah-olah aksi ‘mat rempit’.
Rizalman tidak menafikan label itu selepas sayap tersebut berjanji akan mengadakan perhimpunan balas dengan aman pada 9 Julai ini.
Bersih merancang untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada tarikh tersebut.
“Kami tidak melihat adanya cara lain. Jika kami melakukan dengan cara yang baik, kumpulan macam ini, sangat sukar untuk bercakap dengan mereka. Mereka selalu mempolitikkan isu-isu semasa,” katanya yang merujuk kepada PKR.





“Ini adalah tahap maksimum untuk menunjukkan kami ini serius,” kata beliau.
Lewat malam tadi, sekitar 600 anggota Pemuda Umno yang bermotosikal mengepung ibu pejabat PKR, dilihat sebagai satu tindakan mengugut menjelang Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, susulan SMS ugutan bunuh diterima Khairy.
Ahli jawatankuasa Pemuda Umno Lokman Noor Adam mendakwa dia mengetuai kumpulan 600 ahlinya sekitar pukul 10.30 malam tadi, menghalang laluan di depan ibu pejabat PKR dengan membuat laungan kuat.
Kata beliau, tindakan ahli-ahli Pemuda Umno dari Selangor dan Kuala Lumpur adalah untuk menghantar “mesej yang jelas kepada PKR bahawa kami tidak takut dan kami bersedia untuk berhadapan dengan mereka lebih awal.”
Khairy, yang kini berada di luar negara berkata, beliau menerima ugutan bunuh menerusi SMS kelmarin, meminta pihaknya membatalkan perhimpunan balas yang hendak diadakan menentang Himpunan Bersih 2.0.
Tindakan Pemuda Umno ini diadakan beberapa jam selepas wakil Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa dipanggil polis berhubung perhimpunan mereka bulan depan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa sekitar 300 ahli Pemuda Umno kebanyakannya bermotosikal bergerak dari Shah Alam tetapi tidak dihalang oleh polis meskipun membawa bendera Umno.

YAHOO: Video seks: Klip terbaru di Internet serang MP Johari




Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 28 Jun — Satu klip video baru muncul di Internet hari ini — menyerang kredibiliti Datuk Johari Abdul — dengan mendakwa wakil rakyat itu meminta “ganjaran” RM1 juta daripada trio Datuk T, beberapa hari selepas beliau mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan si pelaku dalam rakaman video seks didedahkan Mac lalu.




Sejurus selepas rakaman video seks ditayangkan kepada pemberita pada 21 Mac lalu, trio Datuk iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuaib Lazim, Johari (gambar) mendedahkan beliau menonton video itu bersama mereka di sebuah hotel di sini.
Wakil rakyat itu berulang kali menafikan bahawa beliau ada bersetuju yang lelaki dalam video seks itu ialah Anwar.
Bagaimanapun satu video yang disiarkan oleh blogger pro-Umno blogger “Papagomo” hari ini mendakwa sebaliknya.





Video yang panjangnya 1.59 minit itu, bersama dengan tulisan blog memetik Shazryl mendakwa Ahli Parlimen Sungai Petani itu yakin yang Anwar adalah lelaki dalam klip video itu dan Johari minta RM1 juta bagi diri beliau dan RM1 juta bagi setiap lima Ahli Parlimen yang bersedia untuk meninggalkan PKR selepas menonton video berkenaan.
Klip video itu tiada bukti yang dapat menunjukkan bahawa beliau ada meminta wang dalam jumlah itu.
Johari dilihat memasuki sebuah bilik hotel dengan diiringi trio Datuk T dan kemudian duduk di depan televisyen.
Satu kamera terselindung dilihat diletakkan di depan televisyen, oleh itu memberi gambaran mengenai reaksi Johari. dan suara trio Datuk T.
Berbanding naratif-naratif Johari sebelum ini tentang apa yang berlaku pada hari video itu ditonton, MP PKR itu kelihatan gelak ketawa dan mesra bersama ketiga-tiga Datuk T, dan berjenaka beberapa minit sebelum video seks ditayangkan.
Johari juga merupakan sepupu Shuaib.
Klip video bertajuk “Johari Abdul akui bahawa pelaku dalam video seks ialah Anwar Ibrahim” mengetengahkan komen-komen yang dibuat oleh pemimpin PKR ketika menonton video itu.
Tulisan blog itu yang memetik Shazryl dan Rahim sebagai berkata Johari telah meminta RM100,000 sebagai bayaran awal dan mereka telah membayar pemimpin PKR itiu separuh daripadanya.
Rahim dipetik berkata, trio Datuk telah menolak tawaran Johari untuk membawa lima lagi MP PKR iaitu Datuk Kamarul Baharin Abbas, Rashid Din, Azan Ismail, Amran Ab Ghani dan Abdullah Sani untuk menonton video seks itu dan akan dibayar RM1 juta setiap orang untuk keluar parti.
“Apabila (pemintaan) ini dibuat, kami telah memutuskan untuk menolak (tawaran Johari), kata Rahim lagi.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Jumaat lalu mengenakan hukuman ke atas ketiga-tiga mereka selepas mengaku bersalah menayangkan rakaman dan bersubahat dengan perbuatan itu.

Monday 27 June 2011

UTUSAN: Perhimpunan Bersih: Parti Makkal Sakti turut bantah


28/06/2011 11:58am

KUALA LUMPUR 28 Jun – Parti Makkal Sakti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin pertubuhan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang telah diharamkan, turut menyuarakan bantahan terhadap rancangan mengadakan perhimpunan haram oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini dan berpendapat ia tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Presidennya, Datuk R.S. Thanenthiran berkata, demonstrasi jalanan itu bercanggah dengan hasrat majoriti rakyat.
“Bersih dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memajukan agenda politik tersendiri dan tidak sama sekali memperjuangkan hak-hak rakyat seperti yang diperkatakan,” katanya di dalam satu kenyataan di sini, hari ini.







Thanenthiran berkata, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan rakyat mengecapi pembangunan pesat sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara ini.
“Sememangnya pilihan raya di Malaysia dijalankan dengan adil dan saksama dan buktinya ialah bilangan ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada pihak pembangkang ketika ini,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan polis serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi esok dan di setiap negeri di seluruh negara untuk mencegah rakyat jelata daripada terpedaya dengan hasutan pihak terbabit yang membawa kesan negatif kepada kepesatan pembangunan negara. - Bernama

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites