PULAU PINANG 1 Julai - Lebih 1,500 orang berarak dan berhimpun di beberapa jalan utama dan hadapan Komtar bagi membantah pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa menindas orang Melayu dan rakyat negeri itu.
Mereka yang memakai lilitan kain berwarna merah di kepala memenuhi jalan-jalan raya menyebabkan beratus-ratus kenderaan terpaksa berhenti.
Mereka yang merupakan pemimpin serta ahli dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai berarak selepas solat Jumaat sejauh enam kilometer bermula dari Masjid Melayu Lebuh Acheh menuju ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Apabila tiba di Komtar, mereka mengelilingi bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang itu melalui Jalan Magazine sebelum bertindak nekad duduk di atas jalan raya selama hampir 10 minit di Jalan Penang.
Sambil berarak, mereka merentang sepanduk-sepanduk dan melaungkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Guan Eng.
Mereka juga berselawat dan menyanyikan lagu-lagu patriotik.
Turut dibawa bersama dalam perarakan serta perhimpunan itu adalah dua ekor itik.
Itik tersebut pada mulanya mahu diserahkan kepada Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim sebagai simbolik bahawa pemimpin PKR itu hanya pandai bercakap tetapi hakikatnya tidak langsung mahu membela orang Melayu.
Bagaimanapun, hasrat berkenaan tidak kesampaian apabila kedua- dua itik itu dirampas polis.
Para peserta perhimpunan bersurai kira-kira sejam kemudian dan meneruskannya di tengah-tengah Jambatan Pulau Pinang dengan kira-kira 20 orang berdiri sambil memegang kain rentang termasuk dalam bahasa Cina hampir setengah jam.
Kehadiran mereka di atas jambatan menyebabkan pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan masing- masing menyebabkan kesesakan lebih lima kilometer dari bahagian pulau menuju ke Seberang Prai.
0 comments:
Post a Comment