KUALA LUMPUR, 29 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan rasa terkejut dan kesal di atas tindakan kerajaan Malaysia membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz mempersoalkan mengapa kerajaan sanggup membelanjakan berjuta ringgit setahun semata-mata untuk kos kediaman pemimpin-pemimpin negara.
Katanya, dalam keadaan bebanan kos sara hidup yang meningkat, dengan kenaikan harga minyak petrol, kenaikan kadar tarif eletrik, kenaikan harga barang-barang keperluan, Perdana Menteri dan timbalannya pula sanggup hidup bermewahan dengan duit rakyat.
Dalam keadaan demikian, soalnya patutkah kerajaan menarik balik subsidi yang sepatutnya dimiliki rakyat sedangkan kehidupan pemimpin negara dalam keadaan serba selesa.
Menurutnya, nilai RM49 juta jika diagihkan untuk pendidikan rakyat, mampu memberi biasiswa percuma ribuan mahasiswa setiap tahun.
“Bagaimanakah negara dapat melahirkan rakyat yang bertaqwa, berdisiplin, berhemah, berjimat dan mengutamakan kepentingan negara melebihi diri mereka sendiri jika pemimpin negara sendiri hidup dengan mementingkan kepentingan diri mereka sendiri berbanding kepentingan rakyat?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, katanya DPPWP meminta agar kerajaan mengkaji balik kos perbelanjaan kediaman Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
“Tidak semestinya kena banyak belanja jika inginkan keselesaan buat pemimpin negara. Banyak lagi keperluan mendesak untuk negara diperlukan dengan nilai sebanyak itu,” katanya.
Akhirnya, kata beliau DPPWP mengingatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa rakyat sentiasa melihat mereka.
“Sikap ‘cakap tak serupa bikin’ amat dibenci oleh rakyat,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment