Tuesday, 28 June 2011

YAHOO: ‘Jangan main-main dengan kami’, Pemuda Umno beri PKR amaran

Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, 28 Jun — Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar mempertahankan tindakan ‘ganas’ sekitar 600 ahli sayap itu di luar ibu pejabat PKR dekat sini malam tadi atas alasan ia satu-satunya cara untuk memastikan pesaing politik menerima mesej bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman ke atas pemimpin mereka.
“Kami tahu pemimpin-pemimpin PKR di belakang ugutan bunuh ke atas Ketua Pemuda kami. Itu sebabnya kami mahu menghantar mesej. Jangan cuba main-main dengan kami,” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi pagi ini.
Rakaman gelagat mereka mengepung ibu pejabat PKR lewat malam tadi boleh diikuti di YouTube.
Sesetengah pihak menyamakan tindakan mereka itu seolah-olah aksi ‘mat rempit’.
Rizalman tidak menafikan label itu selepas sayap tersebut berjanji akan mengadakan perhimpunan balas dengan aman pada 9 Julai ini.
Bersih merancang untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada tarikh tersebut.
“Kami tidak melihat adanya cara lain. Jika kami melakukan dengan cara yang baik, kumpulan macam ini, sangat sukar untuk bercakap dengan mereka. Mereka selalu mempolitikkan isu-isu semasa,” katanya yang merujuk kepada PKR.





“Ini adalah tahap maksimum untuk menunjukkan kami ini serius,” kata beliau.
Lewat malam tadi, sekitar 600 anggota Pemuda Umno yang bermotosikal mengepung ibu pejabat PKR, dilihat sebagai satu tindakan mengugut menjelang Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, susulan SMS ugutan bunuh diterima Khairy.
Ahli jawatankuasa Pemuda Umno Lokman Noor Adam mendakwa dia mengetuai kumpulan 600 ahlinya sekitar pukul 10.30 malam tadi, menghalang laluan di depan ibu pejabat PKR dengan membuat laungan kuat.
Kata beliau, tindakan ahli-ahli Pemuda Umno dari Selangor dan Kuala Lumpur adalah untuk menghantar “mesej yang jelas kepada PKR bahawa kami tidak takut dan kami bersedia untuk berhadapan dengan mereka lebih awal.”
Khairy, yang kini berada di luar negara berkata, beliau menerima ugutan bunuh menerusi SMS kelmarin, meminta pihaknya membatalkan perhimpunan balas yang hendak diadakan menentang Himpunan Bersih 2.0.
Tindakan Pemuda Umno ini diadakan beberapa jam selepas wakil Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa dipanggil polis berhubung perhimpunan mereka bulan depan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa sekitar 300 ahli Pemuda Umno kebanyakannya bermotosikal bergerak dari Shah Alam tetapi tidak dihalang oleh polis meskipun membawa bendera Umno.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites