27/07/2011
Jenama terbukti masih laku, disanjung: Najib
Perdana Menteri berkata, selepas selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, BN memenangi sebahagian besar pilihan raya kecil dengan peningkatan majoriti, selain sekali lagi membentuk kerajaan negeri di Sarawak dengan majoriti melebihi dua pertiga walaupun menghadapi serangan bertubi-tubi pembangkang.
Beliau berkata, ia menunjukkan rakyat menaruh keyakinan dan pengharapan besar kepada BN dan berikutan itu tiada sebab ahli hilang keyakinan seolah-olah BN lemah atau bukan lagi jenama yang boleh dipasarkan.
“Kikis sebarang unsur negatif kurang keyakinan. Kita mesti yakin dan optimis BN mampu disokong serta diterima oleh rakyat, sekiranya polisi dan pelaksanaan dasar kita berjalan baik serta berkesan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-58 Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Najib juga berkata, kesetiaan sejati ahli dan paling bermakna kepada parti ialah apabila mereka tetap yakin serta kekal bersama dalam keluarga BN pada waktu senang dan susah.
Sambil mengumpamakan keadaan itu seperti dalam sebuah rumah tangga, beliau berkata, ada kala Tuhan akan menguji dengan memberi kesenangan dan kesusahan sama ada kurang pendapatan atau kuasa, tetapi mereka yang melepasi ujian akan berjaya serta mendapat keredaan.
“Jika kita yakin dengan matlamat perjuangan, maka dalam apa juga keadaan senang ataupun susah, kita tetap akan menghadapi pahit maung, memperbaiki segala kelemahan dan bangun dengan kekuatan baru. Kita tidak akan tunduk tertekan atau berasa kita berada dalam saf yang lemah hanya jika ada kesusahan menimpa.
“Mungkin kita kalah beberapa negeri atau kerusi kerana tidak padu sesama kita dalam parti sendiri atau di kalangan BN. Atau mungkin kerana kita terlalu selesa dibuai dalam zon selesa, berasakan kita cukup kebal dan kuat semata-mata kerana jasa serta budi kita begitu besar selama ini.
“Kita kalah mungkin kerana tidak bekerja kuat, tidak dahagakan kejayaan, kurang turun padang, kurang bertemu rakyat, kurang cuba menyelesaikan masalah rakyat dan kurang berinteraksi dengan rakyat,” katanya.
Sebagai gabungan besar, Najib berkata, BN cuba berlaku seadil mungkin antara parti komponen dalam pembahagian kerusi pilihan raya, namun yang paling utama ialah memastikan BN memenangi pilihan raya dengan semua mesti menerima konsep calon mampu menang, sekali gus saling bertolak ansur supaya tidak berlaku sabotaj.
0 comments:
Post a Comment